Berita

ATM nafi hantar anggota tentera ke Palestin

ATM mengesahkan ia adalah video lama mengenai sekumpulan anggota ATM yang ditugaskan ke Lubnan pada 2022

KUALA LUMPUR 16 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan penglibatan anggota tentera ke Palestin seperti yang ditular menerusi platfrom Tik Tok, pada Ahad.

Markas ATM, dalam kenyataan malam tadi, mengesahkan ia adalah video lama mengenai sekumpulan anggota ATM yang ditugaskan ke Lubnan pada 2022.

Markas ATM memaklumkan video berdurasi seminit 36 saat itu, disiarkan menerusi akaun milik @adamjohan64.

“ATM telah meneliti kandungan video tersebut dan mendapati ia merupakan sebuah video lama mengenai misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) bagi Kumpulan Malaysian Battalion 850- 10 (MALBATT 850-10) ke Lubnan pada tahun 2022.

“ATM menafikan kandungan video tular tersebut dan mengesahkan bahawa ia adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Markas ATM meminta masyarakat agar tidak membuat sebarang andaian atau menularkan sebarang perkara yang tidak pasti atau berita palsu kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

“Adalah ditegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” menurut kenyataan itu. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button