Politik

Aura Shahrizat masih kuat, skandal NFC tak beri kesan – Penganalisis

KEMUNCULAN semula Tan Sri Shahrizat ke dalam hierarki tertinggi UMNO menjadi tumpuan selepas dia akhirnya mengesahkan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita parti itu.

Walaupun pernah terpalit dengan kontroversi projek National Feedlot Centre (NFC), aura Shahrizat dilihat masih kuat berbanding penyandang jawatan itu, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Perkara itu diakui Geostrategis, Prof. Madya Dr. Azmi Hassan yang melihat isu NFC hanya memberi kesan yang minimum kepada bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

“Kelebihan ada pada Shahrizat jika dia menentang Noraini untuk jawatan tersebut. Ini kerana, Noraini ketika menjadi Ketua Wanita lebih banyak diam dan tidak banyak isu-isu kontemperori yang diperjuangkan sayap wanita.

“Sedangkan sepatutnya sebagai mantan, memang kelebihan ada pada Noraini disebabkan hubungan yang rapat dengan kepimpinan dan ahli UMNO.

“Namun dalam hal ini, ramai yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Norani kerana di bawah kepimpinannya, sayap wanita sudah tidak selantang sebelumnya,” katanya kepada Xklusif.

Jelasnya, daripada segi peratusan, Shahrizat memang mempunyai kelebihan dan kebarangkalian tinggi untuk memenangi jawatan tersebut.

Ditanya berkenaan dengan isu NFC, Azmi berkata, kemungkinan perkara itu akan memberi kesan yang minimum kepadanya.

“Sebagai individu, isteri dan ibu, Shahrizat tidak terlibat secara langsung dalam tuduhan itu dan tidak akan memberi kesan negatif terhadap tawarannya,” katanya.

Terdahulu, penyerahan borang pencalonan yang dibuat Shahrizat menamatkan spekulasi berhubung pembabitannya dalam arena politik selepas berundur pada 2018.

Kemunculan semula itu secara tidak langsung membuatkan Noraini dicabar ‘orang lama’ dalam pergerakan sayap itu.

Untuk rekod, Shahrizat yang memegang jawatan itu sejak 2008 mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukannya pada pemilihan parti 2018 ekoran mahu memberi laluan kepada muka baharu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Shahrizat yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai sejak 1995 tewas kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dengan majoriti 2,895 undi. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button