Jenayah

Ayah tiri dijel 2 bulan rotan anak 5 tahun sampai berbirat sebab tak kutip ‘remah’

Mahkamah juga menetapkan tertuduh perlu menandatangani bon berkelakuan baik dengan seorang penjamin daripada kalangan ahli keluarganya

BATU PAHAT 29 Nov – “Walau nakal sekali mana pun, dia masih kanak-kanak. Kamu dulu pun pernah jadi kanak-kanak, saya pun sama.”

“Tapi, tindakan kamu ini (merotan) tidak sepatutnya berlaku,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Harmi Thamri Mohamad sebelum menjatuhkan hukuman penjara dua bulan terhadap seorang pekerja kedai makan selepas mengaku bersalah merotan anak tirinya, Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Mirza Hasnulhadi, 25, yang sebelum itu mengekalkan pengakuan bersalah selepas pertuduhan merotan anak tiri hingga berbirat dibaca kali kedua di Makamah Sesyen di sini, hari ini.

Selain hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 12 November lalu, mahkamah juga menetapkan tertuduh perlu menandatangani bon berkelakuan baik dengan seorang penjamin daripada kalangan ahli keluarganya berjumlah RM2,000 serta perlu menjalani khidmat masyarakat 100 jam selama enam bulan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiayai anak tiri perempuan berusia lima tahun menggunakan rotan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di belakang dan kaki.

Kejadian itu berlaku apabila tertuduh berang kerana anak tirinya mengutip sisa makanan dalam kejadian di sebuah rumah di Mukim 3, Peserai, jam 11 malam, 20 Mei lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga boleh dikenakan tambahan hukuman iaitu bon jaminan dengan seorang penjamin supaya berkelakuan baik selama tempoh ditetapkan dan apa-apa syarat difikirkan sesuai oleh mahkamah selain menjalani khidmat masyarakat.

Pada prosiding hari ini, mahkamah turut memanggil isteri tertuduh untuk merekodkan keterangan sebelum menjatuhkan hukuman terhadap lelaki itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala tertuduh diwakili Siti Farha Garied daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada 13 November lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan sama dan mengaku bersalah, namun mahkamah memutuskan hukuman akan dijalankan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen kerana ia di luar bidang kuasa.

Keesokan harinya, tertuduh sekali lagi dibawa ke Mahkamah Sesyen sama sebelum mengekalkan keputusan bersalah dan mahkamah memutuskan hukuman bagi kesalahan itu ditetapkan hari ini. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Back to top button