Berita

Azam Baki nasihat pegawai SPRM jadi lebih moden

Beliau turut mahu warga SPRM sentiasa peka dan mahir menggunakan teknologi terkini dalam penyampaian maklumat agar jelas kepada masyarakat

KUALA LUMPUR 21 Sept – Warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) perlu berubah daripada segi pendekatan dan tidak boleh mengikut cara lama dalam menyampaikan atau mencari maklumat, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Berucap pada Majlis Malam Anugerah Media SPRM di sini hari ini, Azam berkata media yang sering menjadi rujukan suruhanjaya itu, juga tidak boleh berada di “takuk lama” dan perlu berani mencuba atau meneroka (pelbagai medium) untuk mendapatkan maklumat sebenar.

“Saya sering menasihati pegawai-pegawai saya agar menjadi ‘muda mengikut zaman’ atau dalam erti kata lain sentiasa mengikut trend teknologi semasa,” katanya.

Beliau turut mahu warga SPRM sentiasa peka dan mahir menggunakan teknologi terkini dalam penyampaian maklumat agar jelas kepada masyarakat.

Azam berkata media merupakan perantara yang amat penting dalam memainkan peranan sebagai penghubung antara pemerintah dan rakyat dengan jambatan perantara itulah yang membolehkan maklumat mengalir secara dua hala.

Beliau berkata kuasa media sebagai tunjang keempat demokrasi mampu memantau, mendidik, memberi amaran malah mendedahkan kepincangan atau salah laku yang berlaku dalam kerajaan dan masyarakat.

“Kuasa media mampu mewujudkan persepsi, baik positif atau negatif, serta mampu mengalih atau menumpukan perhatian terhadap individu atau sesuatu isu,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button