Azizulhasni sudah bersedia
Segalanya sudah ‘lengkap’ dan kini tiba masa untuk meletakkan 100 peratus tumpuan bagi mengharungi cabaran di Sukan Olimpik Paris 2024 buat kem berbasikal trek negara.
Jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dijadual berlepas ke Paris dari kem latihan pusat di Mallorca, Sepanyol hari ini,
Selepas hampir sebulan di Mallorca, ketiga-tiga pelumba ini dilihat sudah bersedia untuk memberikan cabaran di kala Azizulhasni yang membuat penampilan kelima di Olimpik mengidamkan kilauan pingat emas pada edisi yang berkemungkinan terakhir buat dirinya.
“Selesai sesi latihan terakhir di Mallorca,” kata Azizulhasni yang dikenali dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu dalam hantarannya di laman sosialnya, yang dipetik BHNews sebagai melaporkan.
“Saya tidak mengalami masalah dalam persiapan kali ini dan sangat gembira dengan kemajuannya. Sekarang, saya tidak sabar untuk ke Paris.”
Untuk rekod, Azizulhasni pernah meraih gangsa pada penampilannya di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020 dan atlet berusia 36 tahun itu kini hanya menunggu hari pertandingan yang dijadual berlangsung pada 7 Ogos ini.
“Enam hari lagi sebelum perlumbaan saya bermula,” katanya yang dijadual menyertai acara pecut individu pada 7 Ogos ini sebelum keirin membuka tirainya, tiga hari kemudian.
Azizulhasni dan Shah Firdaus bakal menyertai kedua-dua acara berkenaan manakala Nurul Izzah dijadual menyertai acara keirin pada 8 Ogos disusuli pecut, tiga hari kemudian.