Politik

Azmin Ali dilantik Ketua Pembangkang DUN Selangor

Pelantikan Azmin diumum pada Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Penggal Pertama Dun Selangor ke-15.

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Adun Hulu Kelang, Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Speaker Lau Weng San mengumumkan pelantikan Azmin pada Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Penggal Pertama DUN Selangor ke-15 hari ini.

Lau berkata, Perikatan Nasional (PN) yang merupakan pembangkang di Selangor menghantar surat pada 15 September lalu untuk mencalonkan Azmin sebagai ketua pembangkang.

“Diharapkan ketua pembangkang telah dilantik dan dipersetujui ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya, tahniah diucapkan,” katanya.

Pada persidangan itu juga, 56 Adun mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah, didahului Menteri Besar Amirudin Shari dan diikuti 10 exco serta Adun lain.

Pada penggal lalu jawatan ketua pembangkang dipegang Adun Sungai Air Tawar dari Barisan Nasional (BN) Rizam Ismail.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) dan BN yang bekerjasama berjaya memenangi PRN Selangor dan membentuk kerajaan negeri.

Dalam PRN 12 Ogos lalu, gabungan PH dan BN berjaya memenangi 34 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button