Berita

Azmin tolak kereta rasmi, mahu komputer, mesin pencetak

Azmin berkata kereta rasmi itu bukan keutamaan baginya.

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak kenderaan yang diberikan kepada beliau oleh kerajaan negeri.

Sebaliknya, Mohamed Azmin meminta beberapa keperluan bagi pejabat ketua pembangkang termasuk mesin pencetak dan komputer.

Beliau berkata, kemudahan yang disediakan itu lebih bersesuaian dengan peranan semak dan imbang yang akan dimainkan oleh pihak pembangkang yang kini berjumlah 22 orang hampir menyamai ‘backbenchers’ kerajaan negeri seramai 24 orang di Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Malangnya, pejabat ketua pembangkang hari ini tidak dibekalkan dengan kemudahan bersesuaian.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Menteri Besar kerana beliau menyediakan kenderaan baharu untuk ketua pembangkang.

“Tetapi bagi saya, itu bukan yang saya berikan keutamaan. Saya membuat keputusan untuk tidak menerima kenderaan ketua pembangkang dan saya sudah menyerahkan balik kepada kerajaan negeri.

“Apa yang saya perlukan adalah kemudahan di pejabat ketua pembangkang seperti mesin fotostat, mesin pencetak, komputer kerana ini dapat membantu ADUN untuk berfungsi dengan lebih efektif sebagai blok semak dan imbang,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini petang tadi.

Selain keperluan pejabat ketua pembangkang, beliau turut membangkitkan agar kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi melantik penyelidik bagi membantu ADUN mendapatkan data dan fakta tepat.

“Yang kedua diperlukan adalah beberapa penyelidik yang dapat membantu ADUN-ADUN ini kerana sebahagian besar mereka adalah ADUN yang baru dipilih Sama ada di sebelah kerajaan mahupun pembangkang.

“Ada baiknya Dewan diberikan sokongan dengan peruntukan yang lebih supaya kita dapat melantik penyelidik yang lebih ramai untuk membantu ADUN melakukan kajian supaya perbahasan mereka ini dapat dimanfaatkan oleh Dewan Undangan Negeri.

“Kerajaan negeri juga dapat memberikan bantuan bagi memastikan perbahasan dan perbincangan kita berasaskan kepada data, statistik, fakta yang membantu kerajaan negeri membangunkan negeri yang kita sayangi ini bersama,” katanya. — Harian Metro

Artikel Berkaitan

Back to top button