Berita

B40: Demi beras, terpaksa catu makanan lain

Beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia sejak dahulu lagi dan kenaikkan harga beras memberi tekanan bukan saja kepada rakyat tetapi juga pemain industri

KUALA LUMPUR 18 Sept – Kenaikan mendadak harga beras tempatan baru-baru ini sememangnya memberi kesan mendalam kepada golongan B40 yang banyak bergantung dengan subsidi yang diberi kerajaan dalam meneruskan kehidupan seharian.

Ini kerana beras atau nasi yang juga makanan ruji buat rakyat Malaysia menjadikan golongan B40 tiada pilihan lain untuk menggantikan bahan mentah itu dengan sumber lain.

Tinjauan Xklusif di laman sosial dapati rakyat sudah mula mengeluh apabila terpaksa berdepan dengan isu bekalan dan kenaikan harga beras tempatan di pasaran.

Suri rumah, Nor Hayati Idris berkata, jika kebiasaannya 10 kilogram beras mencukupi untuk lima orang ahli keluarganya bagi tempoh 30 hingga 40 hari dengan hanya sekali masak sehari.

Namun, situasi berbeza kini apabila dia perlu memastikan bekalan beras itu bertahan lebih lama berikutan harga yang naik mendadak.

“Nak tak nak saya kena pastikan beras yang dimasak tidak berlebihan, dan bertahan dengan apa yang dimasak setiap hari.

“Kalau nak tambah, tahan sahajalah. Saya tak makan tidak mengapa, jangan anak-anak yang tidak makan. Mereka tidak faham harga naik semua ni,” kata ibu kepada tiga anak yang masih bersekolah.

Bagi kakitangan swasta, Salleh Termizi, dia menghadapi kesukaran untuk memastikan bekalan barang dapur dapat dibeli seperti sedia kala kerana peningkatan harga beras yang mendadak.

“Sebelum ini setiap minggu boleh beli bahan mentah untuk dibuat lauk, tapi memandangkan harga beras naik mendadak saya perlu kurangkan lauk untuk beli beras.

“Kita orang Malaysia mana boleh tak makan nasi. Lauk sikit tidak mengapa, tapi mulut anak-anak perlu disuap dengan nasi.

“Saya tiada pilihan lain sebab gaji masih sama walau beras dan barang lain naik harga. Asalkan keluarga saya tidak berlapar, saya sanggup buat apa sahaja,” katanya kepada Xklusif, di sini, hari ini.

Sementara bagi pengusaha taska, Maizatul Syarif berkata, kenaikkan harga beras turut memberi kesan kepadanya kerana masih perlu memberi makan kepada kanak-kanak dibawah jagaannya mengikut sukatan yang ditetapkan oleh pakar diet seimbang.

“Kita tak boleh suka-suka nak catu makanan budak-budak di taska kerana mereka perlukan zat untuk kekal cergas dan fokus semasa belajar.

“Budak-budak pun kenyang lebih lama jika makan nasi. Kalau nak ditukar kepada sumber lain pun nanti pihak taska perlu sediakan makanan tambahan lain yang pasti akan memakan modal lebih tinggi,” katanya.

Katanya lagi, tiada perancangan lagi untuk menaikkan yuran taska kerana bimbang ibu-bapa terkesan dengan ekonomi yang tidak menentu. 

Kebanyakan pengguna juga mendakwa kenaikan harga makanan ruji berkenaan menyebabkan mereka terpaksa membuat pilihan untuk membeli beras kampit seberat lima kilogram (kg) berbanding 10kg sebelum ini. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button