‘Babah selalu pesan kena buat amal ibadah dan barulah dapat masuk syurga’ – Anak arwah Hamdan
Katanya, banyak pesanan arwah titipkan kepada anak-anak, ahli keluarga dan rakan apabila berjumpa.
JOHOR BAHRU 5 Jan – Anak sulung Allahyarham Hamdan iaitu Muhamad Zeyreen Misha Ahmad Hamdan, 31, menyifatkan arwah bapanya umpama penceramah bebas kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya kerana sering memberikan nasihat.
Katanya, banyak pesanan arwah titipkan kepada anak-anak, ahli keluarga dan rakan apabila berjumpa.
“Pesanan paling saya ingat, soal masuk syurga. Arwah pesan kena buat amal ibadah dan barulah dapat masuk syurga.
“Doakan kami sekeluarga kuat, mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah. Kita buat yang terbaik, Allah tolong kita.
“Saya dan keluarga nak ucapkan terima kasih kepada jururawat dan doktor yang merawat arwah.
“Begitu juga sahabat dan rakan media. babah. Senario sudah tinggal enam orang tau,” katanya sebak ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.
Katanya, jenazah arwah akan dibawa ke Masjid Abu Ubaidah Taman Perpaduan di Perak sebelum dikebumikan, malam ini.
“Kami bawa pulang jenazah arwah ke kampung halaman di Ipoh, Perak.
“Kami akan terus ke Masjid Abu Ubaidah di Taman Perpaduan dan arwah dijangka dikebumikan malam ini juga.
“Arwah sudah lama berehat (ditidurkan) dan sudah tiba masa saya sebagai ketua keluarga membuat keputusan memudahkan urusan babah.
“Kami akan berjumpa arwah semula di alam lain nanti,” katanya.
Mengenai legasi Allahyarham Hamdan, Muhamad Zeyreen Misha memaklumkan perlu mendapatkan restu daripada ibunya terlebih dahulu.
“Soal legasi memang kami ada minat, cuma belum masa tonjolkan diri. Ada rezeki luas ke hadapan lagi.
“Insya-Allah, kalau ada peluang, kami akan minta restu mama. Jika mama lulus, kami akan teruskan insya-Allah,” katanya.
Terbaharu, jenazah arwah Hamdan dibawa menaiki van jenazah dari Jabatan Perubatan Forensik, HSA ke Masjid Abu Ubaidah Taman Perpaduan, Perak pada jam 4.20 petang tadi. – Berita Harian