Baddrol dah menang, bila nak umum manifesto?
Baddrol sebelum ini menerima kritikan daripada pelbagai kerana merahsiakan manifesto

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Dua hari sudah pun berlalu sejak kemenangan bekas kapten pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia, Baddrol Bakhtiar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, Sabtu lalu, namun manifesto bagi kawasan itu masih belum diumumkan.
Perkara ini menjadi tumpuan warganet apabila Baddrol sebelum ini enggan mendedahkan manifesto bagi kerusi yang ditandinginya dan hanya akan berbuat demikian sekiranya menang di kawasan itu.
Malah, tindakan yang dibawa jika dia berjaya menjadi ADUN kawasan yang ditandinginya.
Bagaimanapun, Baddrol tetap berjaya menguasai kerusi DUN Gurun apabila menerima undian sebanyak 17,771 sekali gus mengenepikan calon dari Pakatan Harapan, Mohammed Firdaus Johari yang meraih 11,187 undi.
Tinjauan Xklusif di sosial media mendapati warganet mula mendesak Baddrol mengemukakan manifesto memandangkan dia sudah berjaya menewaskan calon lain dengan majoriti yang agak besar iaitu 6584 undian.
“Tak sabar tunggu Baddrol Bakhtiar umum manifesto. Bila agaknya boleh tahu ya?,” kata Abu Muaz.
“Alhamdullilah berjaya menang di N22 Gurun, dah boleh mula berkhidmat untuk penduduk. Tapi apa-apa pun umum dulu manifesto, kami tak sabar ni,” kata Bany Hasif.
“Dah jadi YB dah Baddrol sekarang. Cuma kami masih tertunggu lagi nak dengar manifesto rahsia ni. Rasanya dah boleh umum kot,” Rosni Abdullah.
Untuk rekod, Baddrol Bakhtiar merupakan bekas kapten pasukan bolasepak kebangsaan dan menamatkan kerjaya bolasepaknya bersama pasukan Sabah FC sebagai kapten.
Beliau telah kembali ke Kedah untuk bergelar ahli politik apabila mendukung Muhammad Sanusi sebagai Menteri besar Kedah serta menjadikan individu tersebut sebagai inspirasi dan idolanya dalam bidang baru yang diceburi.
Selain Baddrol, seorang lagi bekas pemain bolasepak kebangsaan, Muhamad Radhi Mat Din yang mewakili Perikatan Nasional turut berjaya mengenepikan Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar di DUN Alor Mengkudu, dengan majoriti 10,104 undi. – Xklusif