Berita

‘Bahang’ cukai LVG mula terasa, orang ramai terkesan harga barangan dalam talian naik mendadak

Kenaikan harga barang akibat lambakan cukai sedang dirasai oleh rakyat

KUALA LUMPUR 4 Jan – Orang ramai yang sekian lama dibelenggu lambakan cukai kini semakin terkesan dengan pelaksanaan cukai barangan bernilai rendah (LVG) terhadap produk import berharga RM500 ke bawah yang dijual dalam talian bermula 1 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup Rakyat MCA, Dr Monna Ong Siew Siew, berkata pelbagai cukai yang dikenakan ke atas rakyat menimbulkan andaian kerajaan MADANI tidak serius meningkatkan kecekapan pentadbirannya.

“Kenaikan harga barang akibat lambakan cukai sedang dirasai oleh rakyat. Ini menimbulkan andaian kerajaan MADANI tidak serius dalam meningkatkan kecekapan pentadbirannya, malah tidak menerima teguran dan kritikan dengan terbuka.

“Pendapat ini tidak hanya wujud dalam media sosial, tetapi juga dalam kalangan masyarakat di seluruh negara.

“Ini berikutan pada 1 Januari lalu, pelaksanaan LVG terhadap produk import dengan harga RM500 ke bawah dilakukan tanpa tinjauan terhadap keluhan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tinjauan Xklusif mendapati rata-rata barangan import yang dijual menerusi platform atas talian mengalami peningkatan harga yang mendadak berikutan pelaksanaan cukai LVG.

Antara barangan yang terlibat termasuklah barangan hiasan rumah, elektronik, pakaian, barangan sukan dan banyak lagi.

Dalam pada itu, kastam mentakrifkan barang bernilai rendah sebagai semua barangan tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok, yang dijual pada harga tidak melebihi RM500 dan dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat, laut atau udara.

Pihak yang menjual barang bernilai rendah di platform dalam talian atau mengendalikan pasaran dalam talian untuk penjualan dan pembelian barang bernilai rendah mesti mendaftar dengan kastam, jika jumlah nilai jualan barang bernilai rendah yang dibawa masuk ke Malaysia melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan.

Secara berasingan, kastam turut menerbitkan satu set garis panduan mengenai pelaksanaan cukai jualan barang bernilai rendah di portalnya bertarikh 3 November lalu.

Siew Siew berkata, pada masa sama, kerajaan dilihat memberi tumpuan kepada ekonomi digital dan e-dagang dengan penubuhan Kementerian Digital dalam rombakan Kabinet baru-baru ini.

Agensi di bawah kementerian itu merangkumi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

Katanya, pelaksanaan cukai LVG sebanyak 10 peratus dikatakan bertujuan merangsang ekonomi rakyat.

“Tetapi ironinya, peniaga terpaksa meningkatkan harga barangan untuk menampung kos yang ditanggung seperti dilaporkan banyak media mengatakan peniaga membuat penyesuaian haerga demi memastikan mereka dapat mempertahankan keuntungan selepas dikenakan cukai LVG.

“Sebagai contoh, sebuah casing iPhone yang sebelum ini berharga RM100 akan kini berharga RM110, menunjukkan produk dijual dalam talian mengalami kenaikan harga.

“Video yang dimuatnaik Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengenai isu itu turut mendapat pelbagai reaksi dengan lebih daripada 1.5 juta tontonan setakat ini,” katanya.

Katanya, senario itu jelas menunjukkan kekurangan sistem cukai hingga membolehkan harga barang meningkat atau jumlah cukai yang dikenakan tidak dijelaskan secara terperinci.

“Senario ini memberi peluang kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

“Pengusaha platform e-dagang yang terbabit dalam barangan bernilai rendah yang diimport dari luar negara melaporkan penurunan transaksi hanya beberapa hari selepas cukai LVG dilaksanakan.

“Ia mengecewakan kerana pelaksanaan cukai oleh kerajaan tidak mempertimbangkan kesejahteraan rakyat dan menjalankan tinjauan menyeluruh untuk memahami kebolehpercayaan dan kebolehlakuan sistem sebelum diperkenalkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pakar ekonomi serta pemimpin Barisan Nasional termasuk MCA menggesa agar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang lebih efisien dikembalikan, tetapi permintaan itu tidak mendapat perhatian.

“Kerajaan MADANI tidak hanya patut mempertahankan imej semata-mata, tetapi seharusnya mengambil tindakan untuk mengkaji pelaksanaan cukai yang paling berkesan demi memaksimumkan hasil negara dan menghidupkan semula ekonomi,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button