Banjir di Terengganu makin buruk, mangsa cecah 1,431
PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing dibuka bagi menempatkan 132 mangsa daripada 32 keluarga

KUALA TERENGGANU 21 Nov – Banjir di Terengganu makin buruk dengan Marang menjadi daerah terbaru selepas satu pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan malam tadi.
PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gasing dibuka bagi menempatkan 132 mangsa daripada 32 keluarga.
Setakat jam 8 pagi, seramai 1,431 mangsa daripada 400 keluarga berada di 14 PPS di empat daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu dan Marang.
Ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 1,048 mangsa daripada 295 keluarga di 12 PPS di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, daerah Kuala Nerus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 699 mangsa daripada 189 keluarga dan ditempatkan di tujuh PPS berbanding hanya 507 mangsa malam tadi.
Di Kuala Terengganu, seramai 574 mangsa banjir membabitkan 173 keluarga berada di empat PPS iaitu SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang dan SK Gong Tok Nasek.
Jumlah mangsa yang terjejas di Setiu kekal seramai 26 mangsa daripada enam keluarga dan ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Bintang dan Balai Raya Kampung Bari Besar.
Keadaan cuaca ketika ini masih hujan di beberapa tempat di Terengganu.