Berita

Banjir gelombang ketiga dijangka landa Terengganu Sabtu ini

Hujan lebat dijangka landa Terengganu bermula Sabtu hingga Selasa.

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Terengganu berkemungkinan berdepan hujan lebat beserta angin kencang yang sekaligus membawa kepada banjir gelombang ketiga.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata ia susulan daripada kejadian ribut tropika Jelawat yang melanda di Tenggara Filipina.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang menjangkakan hujan lebat dan gelombang ketiga di negeri ini bermula pada Sabtu ini hingga Selasa.

“Banjir gelombang kedua yang melanda negeri ini baharu sahaja pulih apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) di tutup sepenuhnya pada jam 2 petang semalam.

“Kita menjangkakan hujan lebat serta angin kencang kemungkinan dijangka berlaku mulai Jumaat ini.

“Sekiranya terdapat kesan daripada ribut tropika Jelawat, kita mungkin akan menghadapi hujan yang berat (lebat) dan kemuncaknya pada 24 dan 25 Disember ini.

“Ini baharu ramalan yang dikeluarkan MetMalaysia. Namun dalam masa sama kita sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi monsun Timur Laut (MTL),” katanya pada majlis penyampaian bantuan banjir Yayasan PETRONAS di sebuah hotel di sini, semalam.

Sumbangan barangan keperluan yang diperuntukkan kepada 1,500 keluarga terjejas banjir di Terengganu itu disampaikan Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli kepada Tengku Farok Hussin

Mengulas lanjut, Tengku Farok Hussin berkata pihaknya dimaklumkan hujan lebat akan melanda seluruh negeri ini membabitkan kawasan pesisir pantai.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan pesisir pantai supaya lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada.

“Malah, kita juga memberi arahan kepada semua pengerusi bencana daerah supaya memberi tumpuan di kawasan masing-masing terutama kawasan ‘hotspot’.

“Mengikut ramalan yang dikeluarkan, hujan lebat dan angin kencang ini membabitkan daerah Besut hingga Kemaman, disusuli kawasan pendalaman,” katanya.

Mengikut rekod, hujan lebat yang mengakibatkan banjir gelombang pertama mula berlaku pada 20 November lalu di semua daerah sekali gus mengaktifkan PPS kecuali Hulu Terengganu.

Khamis lalu, banjir gelombang kedua yang mana Hulu Terengganu menjadi daerah pertama membuka PPS diikuti Setiu, Kemaman, Dungun, Besut dan Marang manakala Kuala Terengganu dan Kuala Nerus tidak berlaku banjir.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang menjadi PPS terakhir yang menempatkan mangsa terjejas banjir ditutup sepenuhnya jam 2 petang semalam. — Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button