Banjir India: 20 juta penduduk berdepan krisis kekurangan air minuman
Kota dihuni 20 juta penduduk itu juga mungkin berdepan kekurangan air minuman.

KUALA LUMPUR 14 Julai – India mengarahkan penutupan sekolah dan beribu-ribu penduduk yang tinggal berhampiran tebing Sungai Yamuna berpindah ke tempat lebih selamat di tengah-tengah amaran banjir di New Delhi, India.
Kota dihuni 20 juta penduduk itu juga mungkin berdepan kekurangan air minuman berikutan penutupan beberapa loji rawatan selepas bacaan paras air tertinggi dicatatkan di Sungai Yamuna.
Beberapa kawasan berhampiran sungai itu dinaiki air hari ini.
Pentadbiran negeri New Delhi mengarahkan penutupan pejabat kerajaan yang tidak penting, sekolah dan kolej sehingga Ahad ini.
Pihak berkuasa juga melarang kemasukan kenderaan berat ke New Delhi kecuali yang membawa barangan keperluan seperti makanan dan bahan api.
“Telah diputuskan untuk menutup semua sekolah, kolej dan universiti sehingga Ahad. Semua pejabat kerajaan kecuali yang menyediakan perkhidmatan penting akan (membenarkan kakitangan) bekerja dari rumah.
“Sektor swasta turut dinasihatkan untuk bekerja dari rumah sebanyak mungkin,” kata Ketua Menteri, Delhi Arvind Kejriwal kepada media.
Tiga loji rawatan air yang terletak di Wazirabad, Chandrawal dan Okhla, yang menghasilkan 25 peratus air minuman di bandar itu ditutup.
“Kami mungkin perlu membuat catuan air. Orang ramai mungkin menghadapi kekurangan air untuk sehari dua,” kata Kejriwal.
Kira-kira 20,000 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan sementara selepas dipindahkan dari kawasan berhampiran Sungai Yamuna.
Paras air sungai naik secara mendadak minggu ini berikutan pelepasan sejumlah besar air dari benteng Hathnikund oleh negeri jiran Haryana.
Hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di seluruh negeri di utara India, termasuk di Himachal Pradesh, Punjab, Uttarakhand dan Uttar Pradesh
Perjalanan rentas negeri terjejas akibat beberapa jambatan runtuh, tanah runtuh dan kerosakan pada lebuh raya. – Bernama