Berita

Banjir Johor: Mangsa banjir meningkat 1,197

Sebanyak 12 pusat pemindahan sementera (PPS) dibuka untuk menempatkan kesemua mangsa.

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat semula apabila seramai 1,197 penduduk daripada 301 keluarga ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu meningkat sedikit berbanding 1,168 penduduk daripada 305 keluarga yang direkodkan pada jam 10 malam Jumaat.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor memberitahu, Kota Tinggi masih merupakan daerah paling terjejas dengan seramai 793 penduduk daripada 197 keluarga ditempatkan di lapan PPS.

“Di Mersing pula seramai 277 penduduk daripada 73 keluarga masih ditempatkan di dua PPS manakala di Kluang seramai 84 penduduk daripada 28 keluarga masih ditempatkan di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Azmi berkata, keadaan banjir di Johor Bahru semakin pulih setelah jumlah mangsa berkurangan dengan terkini hanya 43 penduduk daripada 12 keluarga ditempatkan di satu PPS.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Jalan di Kampung Orang Asli Peta di Mersing masih lagi terputus hubungan.Tambah beliau, Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi ditutup untuk semua kenderaan kerana banjir.

“Rakyat di kawasan terjejas dinasihatkan sentiasa bersedia setelah laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat berterusan berlaku di Mersing dan Kota Tinggi sehingga Ahad ini,” katanya.

Ujarnya, laporan sama turut menjangkakan hujan berterusan dijangka berlaku di Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru. — Sinar Harian

 

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button