Berita

Banjir: Kota Tinggi tenggelam, mangsa di Johor cecah 6,847

Ia berbanding hanya sejumlah 6,564 mangsa terjejas daripada 1,819 keluarga yang ditempatkan di 51 PPS, di enam daerah terjejas, jam 7 pagi tadi

JOHOR BAHRU 8 Jan – Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 6,847 orang daripada 1,890 keluarga yang ditempatkan di 52 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah terjejas, setakat jam 9 pagi ini.

Ia berbanding hanya sejumlah 6,564 mangsa terjejas daripada 1,819 keluarga yang ditempatkan di 51 PPS, di enam daerah terjejas, jam 7 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Kota Tinggi kekal menjadi daerah paling terjejas banjir dengan mangsa paling tinggi setakat ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, mangsa banjir terjejas di Kota Tinggi naik mendadak kepada 3,233 orang daripada 850 keluarga yang ditempatkan di 24 PPS, setakat jam 9 pagi ini.

Ia diikuti dengan Johor Bahru yang turut mencatatkan peningkatan mangsa kepada seramai 1,853 mangsa banjir terjejas daripada 507 keluarga di 10 PPS.

Kluang pula kekal dengan 1,633 mangsa banjir terjejas daripada 500 keluarga ditempatkan di 14 PPS, pagi ini.

“Kulai turut kekal dengan 86 mangsa terjejas daripada 23 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kampung Murni Jaya.

“Segamat pula meningkat sedikit dengan 25 mangsa terjejas daripada tujuh keluarga di PPS Balairaya Kampung Batu Badak.

“Manakala Pontian pula kekal dengan 17 mangsa banjir terjejas daripada empat keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Rata Pekan Nanas,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun cuaca diramalkan cerah di beberapa daerah terjejas, namun tinjauan dilakukan mendapati ia kini bertukar mendung sekali gus dibimbangi berlaku hujan semula menjelang tengah hari ini.

Semalam, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dilaporkan mengeluarkan amaran tahap jingga iaitu hujan lebat berterusan dijangka melanda Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi, sehingga hari ini.

Manakala amaran tahap kuning iaitu hujan berterusan dijangka melanda Johor Bahru, Kulai, Pontian, Batu Pahat, Muar dan Tangkak. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button