Banjir: Masjid, surau diminta adakan solat hajat
Solat itu bagi mendoakan mangsa yang terjejas ekoran bencana banjir.

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Ekoran bencana banjir yang melanda beberapa negeri, semua masjid dan surau di seluruh negara diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mangsa banjir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, solat hajat itu juga bertujuan mendoakan keselamatan semua mangsa yang terjejas akibat bencana berkenaan.
Mohd Na’im berkata, beliau sudah mengarahkan agensi dan seluruh jentera Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa selain turun padang membantu mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada.
Katanya, beliau bersimpati dan sedih dengan musibah yang menimpa mangsa berikutan banjir di beberapa negeri.
“Saya juga akan bersama agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk meninjau dan membantu saudara kita yang terkesan di negeri terjejas.
“Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur selepas selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan umat Islam dua negara serumpun. Lawatan ini saya singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia,” katanya. — Xklusif