Banjir Terengganu: 13 sekolah ditutup
13 sekolah terpaksa ditutup hari ini disebabkan laluan dinaiki air berbanding hanya lima sekolah semalam

KUALA TERENGGANU 21 Nov – Jumlah sekolah yang terpaksa ditutup akibat banjir di empat daerah di Terengganu meningkat.
Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Azman Othman @ Abdullah, berkata 13 sekolah terpaksa ditutup hari ini disebabkan laluan dinaiki air berbanding hanya lima sekolah semalam.
Beliau yang menjalankan tugas Pengarah Pendidikan Terengganu, memaklumkan antara sekolah ditutup di daerah Kuala Terengganu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Kubang Ikan, SK Pusat Kuala Ibai, SK Kedai Buluh, SK Losong, SK Kampung Bukit dan SK Bukit Bayas.
Selain itu, katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, SMK Sultan Mansor dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Sheikh Abdul Malek.
“Sekolah di daerah Besut yang terpaksa ditutup ialah SK Bukit Puteri, manakala di Kuala Nerus membabitkan SMK Padang Kemunting dan di Dungun pula, SMK Intan Zaharah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta meminta pengurusan sekolah yang terbabit banjir memohon cuti bencana yang akan turut dipertimbang untuk sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) jika bilik darjah banyak digunakan untuk menempatkan mangsa banjir.
“Kita sudah minta semua pengurusan sekolah, terutama yang terbabit banjir memohon cuti bencana,” katanya.