Ekonomi

Bank Rakyat anjur Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa ke-5

Fokus pada Zakat dan isu kontemporari

Bank Rakyat menganjurkan Persidangan Meja Bulat Cendekiawan Syariah Antarabangsa (iSHAR) ke-5 yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick. Persidangan yang diadakan di Kuala Lumpur ini tertumpu pada peranan Zakat dan isu kontemporarinya dalam kewangan Islam, selain untuk memajukan kesejahteraan sosial dan mengurangkan ketidaksamaan.

Dalam ucapannya, Ewon menekankan kepentingan Zakat sebagai tonggak utama kewangan Islam dan pemacu perubahan sosial dan ekonomi. “Zakat bukan sahaja merupakan asas kewangan Islam, tetapi juga sebuah mekanisme yang mampu menangani cabaran zaman ini daripada segi ketidaksamaan ekonomi hingga kebajikan sosial,” katanya.

Ewon turut memuji kepimpinan Bank Rakyat dalam memupuk dialog yang bermanfaat mengenai kewangan patuh Syariah dan komitmennya dalam menyokong komuniti yang kurang mendapat perhatian (underserved community).

“Sebagai contoh inisiatif keusahawanan Bank Rakyat seperti RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur yang menggunakan dana Zakat untuk menyokong usahawan asnaf. Inisiatif ini menunjukkan kuasa transformasi kewangan Islam dalam mempromosikan pertumbuhan keusahawanan, pemerkasaan ekonomi dan pembangunan jangka panjang,” tambah beliau.

Sementara itu, Sheikh Dr. Nedham Yaqoobi, wakil ulama yang menghadiri persidangan tersebut turut menekankan kepentingan persidangan ini sebagai hab serantau untuk perbincangan dalam kewangan Islam. “Persidangan ini telah menjadi sebuah perhimpunan yang penting di rantau ini yang mana mengumpulkan ulama Syariah dan para intelektual di seluruh dunia untuk terlibat dalam perbincangan yang komprehensif, selain bertukar pandangan mengenai isu Syariah yang berkaitan dengan perbankan dan amalan kewangan Islam,” katanya.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, penganjuran iSHAR kali kelima ini menandakan usaha berterusan Bank dalam memajukan kewangan Islam, selain menjadi platform penting untuk bertukar kepakaran dan pengetahuan bagi membincangkan mengenai isu kewangan Islam yang dihadapi oleh industri perkhidmatan kewangan Islam.

“Kejayaan berterusan iSHAR sebagai platform pertukaran kepakaran dan pengetahuan ini mencerminkan komitmen Bank Rakyat untuk memupuk kerjasama dan memacu inovasi dalam kewangan Islam. Resolusi dan pandangan yang dihasilkan daripada perbincangan ini akan menjadi rujukan utama untuk ulama, pengamal dan pihak berkepentingan. Dengan menangani isu kontemporari berkaitan Zakat, kami dapat memastikan relevan dan impaknya dalam mempromosikan pengagihan kekayaan yang saksama serta memajukan masyarakat,” katanya.

Mohd Irwan turut menekankan peranan Zakat yang meluas dalam mempromosikan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam sektor perbankan Islam. “Zakat mengandungi prinsip etika yang membentuk asas kewangan Islam dan melalui inisiatif seperti iSHAR, kami berusaha untuk merapatkan jurang sosial dan moral dalam perbankan,” tambahnya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button