Bank Rakyat pastikan sistem selamat, mengutamakan kepentingan pelanggan
Berikutan dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini, Bank Rakyat menjelaskan bahawa sistemnya kekal selamat dan sentiasa mengutamakan kepentingan pelanggan.
Bank tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius kebimbangan yang wujud berikutan dakwaan tersebut.
“Bank Rakyat kekal komited terhadap ketelusan dan mengutamakan kepentingan pelanggan menerusi pembangunan teknologi secara berterusan bagi terus mempertingkatkan kekukuhan dan menambah baik daya tahan operasi untuk memastikan Bank Rakyat dapat menyediakan perkhidmatan perbankan yang kondusif dan selamat untuk pelanggan kami.”
Bank Rakyat turut menjelaskan bahawa pihaknya telah pun menghubungi pelanggan secara individu melalui surat dan sistem pesanan ringkas (SMS) serta mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan perbankan pelanggan. Bank Rakyat meningkatkan lagi kesedaran dan panduan kepada pelanggan untuk melindungi diri daripada ancaman keselamatan siber.
Bank Rakyat telah melaporkan insiden ini kepada pihak berkuasa dan membuat siaran media sebelum ini. Bank Rakyat juga meyakinkan pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan pihak berkepentingan bahawa semua operasi perniagaan kekal berfungsi sepenuhnya. Integriti dan keselamatan perbankan pelanggan kekal sebagai keutamaan utama Bank.
Jika ada pelanggan mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan, mereka harus segera menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1300 800 800 atau 03-5526 9200 atau Pusat Respons Scam Kebangsaan di 997.