Bank Rakyat perjelas kemungkinan ketirisan data, beri jaminan keadaan terkawal

Bank Rakyat baru-baru ini menjelaskan insiden kemungkinan ketirisan data yang mungkin melibatkan beberapa maklumat pelanggan.
Bank tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa, berikutan langkah proaktif yang dilaksanakan, insiden kemungkinan ketirisan data ini telah berjaya dikawal.
“Bank Rakyat kekal komited terhadap ketelusan dan telah memaklumkan pelanggan dengan sewajarnya. Di samping itu, kami turut menasihatkan pelanggan untuk sentiasa berwaspada terhadap taktik pancingan data dan kaedah penipuan berpotensi lain,” tambahnya.
Sebagai tindak balas terhadap ketirisan tersebut, Bank Rakyat telah melaporkan insiden ini kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Bank memberi jaminan kepada pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan pihak berkepentingan bahawa semua operasi perniagaan kekal berfungsi sepenuhnya. Integriti dan keselamatan data pelanggan kekal sebagai keutamaan utama Bank.
Jika ada pelanggan mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan, mereka harus segera menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1300 800 800 atau 03-5526 9200 atau Pusat Respons Scam Kebangsaan di 997.