Bank Rakyat perkenal pelbagai ciri dan manfaat baharu menerusi Akaun Simpanan-i Nuri
BANK RAKYAT menganjurkan program Nuri Splash Fiesta di SplashMania, Gamuda Cove yang menghimpunkan seramai 150 orang pelajar yang mewakili program Sekolah Tanpa Tunai dan sekolah jemputan khas Bank Rakyat sebagai inisiatif memperkenalkan pelbagai ciri dan manfaat baharu Akaun Simpanan-i Nuri.
Bagi memupuk semangat menyimpan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, Bank Rakyat mengambil langkah inovatif memperkenalkan Akaun Simpanan-i Nuri Kids bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan Akaun Simpanan-i Nuri Teens bagi remaja berusia 12 hingga 18 tahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman, sebelum ini Akaun Simpanan-i Nuri hanya boleh dibuka oleh ibu bapa atau penjaga dengan mengunjungi cawangan bank. Bagaimanapun, dengan ciri baharu yang diperkenalkan, proses pembukaan akaun yang lebih mudah dan pantas kini boleh dilakukan di platform digital Bank Rakyat Quick (BRICK).
Tambah beliau, dengan deposit pembukaan akaun serendah RM20 sahaja, pelanggan boleh menikmati pelbagai faedah seperti kadar keuntungan menarik sehingga 2.00% setahun, keahlian Kelab Nuri secara automatik , peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik serta menikmati pelbagai keistimewaan yang ditawarkan oleh rakan kolaborasi Kelab Nuri seperti tawaran diskaun, tiket kemasukan percuma dan harga istimewa bagi barangan terpilih.
Kelab Nuri juga turut memperkenalkan sebanyak 39 rakan kolaborasi baharu seperti SplashMania @ Gamuda Cove, Pusat Tuisyen PTTI, Jumpstreet Malaysia, Selamatbercuti.com, Super Park dan Big Bounce Park serta banyak lagi untuk menawarkan lebih manfaat kepada ahli kelab.
Di samping itu, Kad Debit-i Nuri dan Kad Keahlian Kelab Nuri juga kini berwajah baharu dengan reka bentuk yang menarik. Kad Debit-i Nuri boleh digunakan sebagai kad keahlian Kelab Nuri dan hanya diberikan kepada pelanggan berusia 12 sehingga 18 tahun yang mana boleh digunakan di mana-mana mesin ATM Bank Rakyat atau ATM berlogo MEPS di seluruh negara.
Dalam ucapan beliau, Mohammad Hanis berkata, “Nuri bukanlah sekadar jenama bagi produk perbankan Bank Rakyat untuk kanak-kanak, tetapi merupakan simbolik sebagai wira atau pun ‘hero’ kepada golongan kanak-kanak dan remaja sejak Akaun Simpanan-i Nuri diperkenalkan pada tahun 1994.
“Menerusi pelbagai keistimewaan dan faedah baharu yang ditawarkan, Bank Rakyat berharap Nuri akan terus menjadi inspirasi dan motivasi kepada generasi muda untuk menyimpan dan merancang masa depan mereka dengan lebih baik,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, beliau berharap agar ibu bapa memanfaatkan peluang keemasan ini dengan mendaftarkan Akaun Simpanan-i Nuri Kids dan Akaun Simpanan-i Nuri Teens untuk anak-anak mereka agar dapat menikmati pelbagai ciri baharu serta faedah yang ditawarkan.
“Bank Rakyat menerusi inisiatif Jangkauan Komunitinya turut menyerahkan sumbangan kepada kanak-kanak yang memerlukan termasuk sumbangan sebanyak RM4,775 untuk menampung kos perbelanjaan persekolahan adik Raees Hussein Mohd Zulhusni bagi meringankan beban kewangan keluarganya.
“Selain daripada itu, sumbangan sebanyak RM7,000 juga disalurkan bagi menampung kos pembelian alat bantu pendengaran adik Zya Filza Fauzi Abdul Fattah yang berumur 6 tahun sebagai persediaan untuk beliau memasuki sekolah pada tahun hadapan,” ujar Datuk Mohd Irwan.
Di samping itu, Bank Rakyat turut menyerahkan sijil penghargaan kepada rakan kolaborasi baharu Kelab Nuri seperti Gamuda Land Leisure Sdn. Bhd., PTTI Group Sdn. Bhd., Selamatbercuti.com, Jumpstreet Malaysia Sdn. Bhd. dan Sports Entertainment Asia bagi menghargai peluang kerjasama ini.
Menerusi kerjasama ini, ahli Kelab Nuri berpeluang untuk menikmati pelbagai tawaran menarik yang disediakan termasuk, diskaun 10% untuk yuran kemasukan di enam lokasi tarikan Gamuda Land Leisure serta kelas tuisyen dalam talian secara percuma oleh PTTI Group. Selain itu, diskaun dan tawaran menarik turut ditawarkan oleh Selamatbercuti.com., Jumpstreet Malaysia dan Sports Entertainment Asia.
Sementara itu, Bank Rakyat turut menganjurkan Kempen Adik Simpan, Adik Senang bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2024 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM190,000 sebagai inisiatif memupuk tabiat menyimpan.