Ekonomi

Bank Rakyat sasar tarik 10,000 pengunjung di Tourism and Halal Food Expo

Berkonsepkan beli belah tanpa tunai, Tourism and Halal Food Expo anjuran Bank Rakyat yang berlangsung selama lima hari bermula 21 hingga 25 Ogos 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat ini bakal menyaksikan kehadiran seramai 10,000 pengunjung khususnya dari sekitar Lembah Klang.

Ekspo ini menampilkan lebih 150 agensi pelancongan dan perniagaan makanan halal terkemuka seperti Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre, Ezydurian, Mamasab dan Mak Jenny serta banyak lagi yang menawarkan pelbagai promosi dan diskaun menarik, selain memberi peluang kepada pemain industri dan masyarakat untuk meneroka produk pelancongan dengan tawaran harga kompetitif dan menikmati juadah yang dijamin halal.

Istimewa buat pengunjung ekspo ini, agensi-agensi pelancongan di bawah Tourism Malaysia turut memperkenalkan inisiatif promosi terbaharu “Fly Borneo Specials Vol. 2 – More Adventure Awaits You!” yang mana merupakan peluang keemasan untuk pelancong dan orang ramai meneroka tawaran dan promosi hebat untuk mengunjungi destinasi menarik di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Selain itu, Bank Rakyat menawarkan kemudahan pelan ansuran 0% sehingga 36 bulan dengan menggunakan Kad Kredit-i Bank Rakyat bagi pembelian pakej pelancongan yang ditawarkan oleh agensi pelancongan yang terlibat dalam ekspo ini.

Dalam ucapannya semasa majlis perasmian ekspo tersebut, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif ini merupakan platform terbaik bagi mana-mana perniagaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dalam industri halal menerusi pemasaran produk makanan halal kepada masyarakat di bawah satu bumbung.

“Justeru, saya menyeru kepada semua usahawan untuk turut memanfaatkan sepenuhnya peluang ini dengan menjalin hubungan perniagaan di samping meneroka potensi baharu untuk terus memajukan sektor pelancongan dan makanan halal negara,” tambah Datuk Ewon.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, penganjuran program tanpa tunai ini merupakan komitmen berterusan Bank dalam menggalakkan amalan inisiatif tanpa tunai, sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan masyarakat Madani.

“Inisiatif ini juga sebagai manifestasi Bank dalam menyokong dan merancakkan industri pelancongan dan makanan halal negara kita. Diharapkan dengan usaha ini akan menarik lebih ramai pelancong domestik mahupun antarabangsa untuk menerokai keunikan budaya dan makanan tempatan kita,” kata Datuk Mohd Irwan.

Lebih menarik, ekspo ini membolehkan pengunjung untuk mengambil bahagian dalam aktviti yang dianjurkan seperti cabutan hadiah serta menikmati persembahan daripada buskers, dikir barat dan wayang kulit. Pengunjung juga boleh memohon dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung produk dan perkhidmatan Bank Rakyat di reruai yang disediakan.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button