Berita

Bantah pengeluaran bulanan KWSP, jangan sekat duit rakyat – PGIRM

Azmi Mohd Tahir berkata, tidak wajar untuk KWSP menyekat duit rakyat.

KUALA LUMPUR 8 Julai – Majoriti pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan rasa tidak setuju jika pengeluaran pada usia 55 tahun dibuat secara bulanan atau berkala.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata, tidak wajar untuk KWSP menyekat duit rakyat.

“Pencarum ada perancangan mereka sendiri sama ada mahu mengerjakan haji, umrah, mahu baiki rumah dan sebagainya dengan wang tersebut.

“Apatah lagi wang itu sudah disimpan sekian lama dan sepatutnya, sebarang keputusan perlu mendapat persetujuan hampir 15 juta pencarum yang ada,” katanya kepada Xklusif.

Menurut Azmi, dia membidas kenyataan KWSP itu kerana perkara itu dibuat tanpa perbincangan di Dewan Rakyat.

Jelasnya, perkara itu perlu dibahas dan rata-rata pencarum menerusi aduan yang diterima menyatakan rasa tak setuju walaupun perkara itu ditujukan kepada pencarum yang baru bekerja.

“Pencarum bukan penjawat awam yang terima pencen setiap bulan daripada wang kerajaan dan bukan wang sendiri serta mereka juga terima emulemen secara lumpsum untuk guna duit tersebut.

“Justeru ia sgt tidak wajar jika pengeluaran persaraan diwajibkan keluar secara ansuran bulanan tanpa diberi pilihan.

“Jangan kaitkan dengan dividen yang tak seberapa untuk menarik minat pencarum! Pencarum tak peduli itu semua.

“Meraka mahukan duit simpanan mereka sendiri tanpa disekat dengan cadangan yang tak wajar,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan tidak mempunyai halangan terhadap cadangan KWSPuntuk menjadikan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila mencecah usia persaraan 55 tahun yang ketika ini adalah secara sukarela kepada mandatori bagi ahli baharu pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ketika ini perkara itu masih di peringkat akhir.

“Saya tidak ada keberatan. Ia mengikut keupayaan KWSP. Jika kita dengar ucapan (Datuk Seri) Amir Hamzah (Ketua Pegawai Eksekutif KWSP) tadi, ada beberapa kekangan terutama dalam kalangan mereka yang ada simpanan yang terlalu kecil,” katanya. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button