Dunia

Bantuan ke Gaza tidak cukup, sistem gagal – PBB

Segelintir konvoi yang dibenarkan melalui Rafah tidak mencukupi, berbanding dengan keperluan lebih dua juta orang yang terperangkap di Gaza

NEW YORK 31 Okt – Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pelarian Palestin (UNRWA) semalam mengeluarkan amaran mengenai bilangan konvoi bantuan yang memasuki Gaza tidak mencukupi untuk memenuhi ‘keperluan kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelumnya’ di wilayah itu.

“Segelintir konvoi yang dibenarkan melalui Rafah tidak mencukupi, berbanding dengan keperluan lebih dua juta orang yang terperangkap di Gaza,” kata Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini kepada Majlis Keselamatan PBB, merujuk kepada sempadan antara Gaza dan Mesir.

Israel Zionis melancarkan kempen pengeboman besar-besaran ke atas Gaza dan meratakan ribuan bangunan dengan menurut Kementerian Kesihatan Palestin, ia membunuh lebih 8,000 orang, yang juga kebanyakannya orang awam.

Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, sejumlah 33 trak yang membawa air, makanan dan bekalan perubatan sudah memasuki Gaza melalui Rafah kelmarin.

Sebelum perang, kira-kira 500 trak yang membawa bantuan dan barangan lain memasuki Gaza setiap hari.

“Sistem yang disediakan untuk membenarkan bantuan masuk ke Gaza gagal, melainkan ada kemahuan politik untuk menjadikan aliran bekalan bermakna ini sepadan dengan keperluan kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini,” kata Lazzarini, yang menggesa Majlis Keselamatan menuntut gencatan senjata kemanusiaan dilaksana segera.

Katanya, sejumlah 64 daripada rakan sekerja UNRWA turut terkorban dalam tempoh lebih tiga minggu sekali gus menjadikan ia ‘jumlah pekerja bantuan PBB tertinggi terkorban dalam konflik berkenaan dalam masa yang singkat’.

Beliau berkata, seorang daripada pekerja PBB bernama Samir, isterinya dan lapan anak, dibunuh beberapa jam sebelum mesyuarat itu berlangsung.

“Rakan-rakan sekerja UNRWA saya adalah satu-satunya cahaya harapan untuk seluruh Semenanjung Gaza, sinaran cahaya ketika manusia tenggelam dalam masa paling gelap.

“Tetapi mereka kehabisan bahan api, air, makanan dan ubat-ubatan serta tidak lama lagi akan tidak dapat beroperasi.

“Seluruh penduduk sedang melalui saat tidak berperikemanusiaan,” kata pegawai Switzerland-Itali itu lagi. – Agensi

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button