Berita

Banyak kes bunuh diri, Kelantan buat solat hajat atas Jambatan Tendong

Kerajaan negeri memilih di atas jambatan kerana lokasi itu kerap menjadi tempat individu untuk terjun membunuh diri

PASIR MAS 5 Feb – Kerajaan Kelantan mengadakan solat hajat di atas Jambatan Tendong dekat sini, selepas lokasi itu menjadi tempat individu terjun untuk membunuh diri.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata solat hajat boleh dibuat di mana-mana, namun kerajaan negeri memilih di atas jambatan kerana lokasi itu kerap menjadi tempat individu untuk terjun membunuh diri.

“Orang terjun dari atas jambatan, bukan atas masjid. Kalau orang terjun atas masjid kita buat solat hajat atas masjid.

“Sebab dia (orang) terjun di sini (jambatan) kita solat hajat di sini. Namun, solat hajat boleh di mana-mana, tetapi kerana di sini tempat orang terjun kita buat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Solat Hajat di Jambatan Tendong di sini, hari ini.

Terdahulu, solat hajat berkenaan diimamkan oleh Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan dan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang yang dihadiri lebih 500 jemaah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 17 kes terjun jambatan direkodkan di Kelantan dalam tempoh empat tahun bermula 2021.

Pengarah Bomba Negeri Kelantan, Zainal Madasin, berkata kesemua kes ditemukan lemas.

Menurutnya, lokasi paling banyak dilaporkan adalah di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu iaitu sembilan kes diikuti empat kes di Jambatan Tendong, kes terjun jambatan turut berlaku di Jambatan Salor dan Pak Nik Lah di Kota Bharu, Wakaf King (Tumpat) serta Tok Bali (Pasir Puteh). – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button