Berita

Bapa budak OKU jadi kutukan guru buat laporan polis

Tindakan guru itu mengutuk murid OKU itu terbongkar selepas tersilap mesej.

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Seorang bapa anak kelainan upaya (OKU), Fezan Ray yang mendedahkan tindakan seorang guru mengutuk anaknya memaklumkan tidak mempunyai pilihan selain memindahkan anaknya ke sekolah yang menyediakan kemudahan bagi murid keperluan khas.

Tindakan guru itu terbongkar selepas tersilap menghantar gambar dan mesej mengenai murid terbabit ke dalam kumpulan perbualan WhatsApp khusus untuk ibu bapa dan guru.

Fezan sempat mengambil tangkap layar semua hantaran mesej itu sebelum guru terbabit memadam perbualan berkenaan.

Dalam mesej itu, guru berkenaan menyifatkan murid yang dikenali sebagai ‘Ean’ itu sebagai ‘anak bongkok’ dan turut berkongsi yang dia akan meninggalkan kelas itu tidak lama lagi.

“Saya tidak bersetuju apabila mereka merendahkan orang lain. Kita tiada pilihan apabila mempunyai ‘anak syurga’, tetapi mereka mempunyai pilihan dalam memilih profesion,” katanya merujuk kepada sekolah pendidikan khas di Tuaran.

Katanya, Ean dilahirkan pramatang dan menjalani banyak prosedur perubatan, selain didiagnos dengan gangguan spektrum autistik pada usia tiga tahun manakala disahkan hiperaktif dan kurang daya tumpuan pada usia enam tahun.

“Buat masa ini, Ean akan kekal di sekolah itu kerana bukan mudah untuk mencari tempat lain yang menyediakan kurikulum pendidikan khas.

“Selepas 24 jam hantaran itu dikongsi di media sosial, guru itu meminta maaf kepada saya dan mereka juga mahu menyelesaikan isu terbabit.

Namun saya tidak mahu menyelesaikannya secara peribadi sebaliknya sudah merujuk kes ini kepada Kementerian Pendidikan melalui platform dalam talian,” katanya.

Berikutan gagal mencapai jalan penyelesaian sebagaimana diharapkan, Fezan berkata, guru itu turut mengemukakan satu laporan polis terhadapnya. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button