Berita

Bapa tiga anak terdesak curi barang di Mydin dipenjara sebulan

Tertuduh didakwa mencuri 10 jenis barangan termasuk alat Bluetooth T3, cecair sabun Antabax, seluar pendek kargo, baju-T lengan panjang lelaki dan lengan pendek, seluar jeans panjang dan cermin di pasar raya Mydin Mall, MITC, Ayer Keroh

MELAKA 5 Feb – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan milik sebuah pusat beli belah bernilai RM665.95, akhir bulan lalu.

Majistret Nabilah Nizam membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan dan mensabitkan tertuduh, Muhd Azizi Jaafar, 35, seperti pertuduhan.

Beliau menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 30 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri 10 jenis barangan termasuk alat Bluetooth T3, cecair sabun Antabax, seluar pendek kargo, baju-T lengan panjang lelaki dan lengan pendek, seluar jeans panjang dan cermin di pasar raya Mydin Mall, MITC, Ayer Keroh, berjumlah RM665.95.

Dia dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh ditahan pengawal keselamatan pasar raya terbabit dengan bantuan orang ramai ketika meluru keluar melalui Pintu B2, apabila diminta menunjukkan resit pembelian.

Dia kemudian dibawa ke pejabat pengawal keselamatan dan hasil pemeriksaan menemui pelbagai barangan di dalam beg sandang dibawanya tanpa resit pembelian.

Laporan polis dibuat pihak pasar raya dan tertuduh ditangkap semula oleh polis untuk siasatan yang mana dia mengaku terbabit dalam kejadian curi berkenaan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Naim Abd Jalil yang melakukan pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Muhd Azizi yang juga bapa kepada tiga anak berasal dari Kota Bharu, Kelantan bagaimanapun memohon hukuman ringan kerana menanggung tiga anak masih bersekolah.

Katanya, dia mencuri semua barangan itu untuk dijual kerana terdesak untuk mendapatkan wang. – Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button