Berita

Bapa tiri didakwa kelar tangan anak, paksa minum air kencing

R.Segaran, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan

KUALA LUMPUR 22 Jan – Seorang pemandu peribadi hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan iaitu mengelar tangan anak tiri lelakinya dan memaksa anak tiri perempuannya meminum air kencing.

R.Segaran, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Dia didakwa mengelar tangan anak tiri lelakinya yang berusia 14 tahun satu bulan di sebuah rumah flat di Dang Wangi di sini pada 5 pagi 15 Dis lepas dan memaksa anak tiri perempuannya yang berusia 10 tahun satu bulan meminum air kencing melalui botol pada 7 pagi hari berikutnya di tempat sama.

Bagi kedua-dua kesalahan, Segaran didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Roslizi Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan kerana bimbang dengan keselamatan kedua-dua mangsa jika tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dibebaskan dengan ikat jamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Feb untuk sebutan kes. – BERNAMA

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button