Berita

Bas persiaran terbalik: Dua penumpang warga China maut

Sebuah bas persiaran dalam perjalanan ke pusat peranginan Genting Highlands di sini, terbabas lalu terbalik, mengorbankan dua penumpangnya dalam kejadian pagi semalam.

Mangsa yang terkorban ialah dua warga China, manakala 19 penumpang lagi selamat dalam kejadian di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands.

Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.34 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong, BBP Genting Highlands serta Unit Kebakaran Genting bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, dua mangsa yang maut tersepit dalam bas dan kerja membawa keluar mayat dijalankan.

“Selain dua yang maut, 19 penumpang lagi selamat dan dibawa keluar dari bas yang berada dalam keadaan terbalik,” katanya.

Kata Ismail, pemeriksaan mendapati bas persiaran itu membawa 11 penumpang lelaki dan tujuh wanita warga China.

“Manakala tiga lagi mangsa adalah pemandu dan dua pemandu pelancong warga tempatan.

“Mangsa yang cedera akibat tersepit di dalam bas akan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.

“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button