Berita

Batu Caves bakal dilengkapi eskalator

Pengerusi jawatankuasa pengurusan kuil itu, Tan Sri R Nadarajah, berkata eskalator itu adalah satu daripada dua projek yang akan dimulakan selepas sambutan Thaipusam nanti

KUALA LUMPUR 19 Jan – Pengurusan Kuil Hindu Batu Caves akan membina eskalator di kawasan tarikan pelancong berkenaan tahun ini sebagai alternatif kepada 272 anak tangga yang perlu diambil oleh pelawat dan penganut Hindu untuk sampai ke gua kuil Sri Subramaniar.

Pengerusi jawatankuasa pengurusan kuil itu, Tan Sri R Nadarajah, berkata eskalator itu adalah satu daripada dua projek yang akan dimulakan selepas sambutan Thaipusam nanti, bersama-sama dengan pembinaan dewan serbaguna yang menelan belanja kira-kira RM35 juta.

“Kami berharap kerajaan akan membantu kerana ini akan membolehkan golongan orang kurang upaya dan warga emas yang tidak dapat menaiki tangga, untuk sampai ke kuil utama,” kata Nadarajah pada sidang media bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong hari ini.

Sementara itu, Sim berkata, Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan program Kesuma MADANI di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam ini.

Beliau berkata, kementeriannya akan menghantar 200 sukarelawan ke Batu Caves bagi membantu jawatankuasa kuil dalam menguruskan isu logistik semasa Thaipusam, di samping menyediakan reruai khas bagi tujuan memberi maklumat pekerjaan dan pendaftaran kaum India yang berminat mengikuti kursus-kursus teknikal.

Reruai itu akan disediakan dengan kerjasama Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) kerana Kementerian Sumber Manusia turut menyasarkan suri rumah daripada masyarakat India untuk mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Back to top button