Berita

Bayaran Khas RM300 buat penjawat awam Melaka sebelum 10 Ogos

Bantuan Khas Penghargaan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM2.16 juta kepada 7,190 penjawat awam di negeri itu.

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Kerajaan negeri Melaka mengumumkan bayaran khas sebanyak RM300 kepada penjawat awam negeri dan akan dibayar sebelum 10 Ogos ini.

Tanpa menyatakan tarikh tepat, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Bantuan Khas Penghargaan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM2.16 juta kepada 7,190 penjawat awam di negeri itu.

Beliau berkata ia akan disalurkan kepada penjawat awam di bawah perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.

“Selaras dengan pengumuman kerajaan Persekutuan, maka kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Penghargaan kepada semua penjawat awam di Melaka.

“Bayaran ini membuktikan kerajaan sentiasa menghargai penjawat awam sama ada yang masih berkhidmat atau yang telah bersara daripada perkhidmatan awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi Julai 2023 hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lepas mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM200 pula akan diberikan kepada pesara kerajaan.

Pembayaran akan dibuat pada 10 Ogos ini. — Bernama

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button