Berita

Bayi 18 bulan maut, kereta terbabas gara-gara elak lubang di LPT 2

Bapa mangsa dipercayai membelok kereta ke laluan kanan berikutan laluan kiri ditutup kon akibat permukaan berlubang

KEMAMAN 26 Dis – Gara-gara mengelak lubang, sebuah kereta Perodua Kancil dinaiki lima sekeluarga terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa bayi perempuan berusia 18 bulan di Kilometer 323.4, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Plaza Tol Kerteh di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan abang mangsa patah kaki kiri.

Mangsa, Nur Afiah Sumayyah Mohammad Sulaiman yang dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun dekat sini disahkan meninggal dunia pada pukul 9.40 malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, kereta Perodua Kancil dipandu bapa bayi itu dikatakan dalam perjalanan ke Setiu dari Felda Neram di sini.

“Bapa mangsa dipercayai membelok kereta ke laluan kanan berikutan laluan kiri ditutup kon akibat permukaan berlubang.

“Sebuah kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza yang sedia ada di laluan kanan gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta Perodua Kancil itu.

“Impaknya kereta Perodua Kancil berkenaan hilang kawalan lalu terbabas merempuh penghadang jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hanyan berkata, mayat Nur Afiah Sumayyah telah dihantar Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button