Berita

Bayi 4 bulan maut akibat cedera di kepala

Pihak polis juga mendapati tiada kesan kecederaan pada fizikal tubuh badan mangsa

NILAI 8 Jan – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malek Hasim berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai telah dihubungi Klinik Kesihatan Nilai pada jam 9.30 pagi memaklumkan kematian bayi tersebut.

“Pihak klinik memaklumkan terdapat seorang bayi lelaki berumur empat bulan telah meninggal dunia dibawa oleh seorang wanita dari kawasan Rumah Rakyat Nilai.

“Siasatan awal mendapati, bayi itu dijaga oleh seorang wanita dari kawasan perumahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, pada jam 8.30 pagi hari kejadian, wanita tersebut telah memberi susu kepada mangsa dan kemudian diletakkan secara mengiring di atas toto.

Bagaimanapun katanya, tidak lama selepas itu, wanita berkenaan mendapati terdapat susu yang mengalir keluar daripada mulut mangsa.

“Wanita itu kemudian mengangkat bayi tersebut serta menepuk belakangnya sebelum meminta bantuan jiran untuk membawanya ke Klinik Kesihatan Nilai.

“Pemeriksaan awal oleh pihak klinik mendapati tiada tanda-tanda bayi itu masih hidup kerana tidak menunjukkan apa-apa tindak balas semasa diperiksa,” katanya.

Tambahnya, pihak polis juga mendapati tiada kesan kecederaan pada fizikal tubuh badan mangsa.

Namun kata Abdul Malek, post mortem dilakukan pada Sabtu di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan tiada sebarang kesan kecederaan pada luaran tubuh mangsa.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button