Berita

Bayi empat bulan maut tersedak susu

Mangsa didapati tersedak sebelum tidak sedarkan diri.

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Seorang bayi lelaki berumur empat bulan yang dirawat kerana disyaki tersedak susu dalam kejadian pada Selasa, di Putrajaya, disahkan meninggal dunia pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihak hospital telah bergegas ke rumah pengasuh mangsa kira-kira jam 10.30 pagi pada Selasa untuk bantuan rawatan awal.

Menurutnya, berdasarkan keterangan pengasuh wanita berumur 52 tahun itu, kejadian berlaku ketika mangsa diberi susu dengan posisi yang betul di mana posisi badan mangsa diletakkan dalam keadaan 45 darjah.

“Mangsa didapati tersedak sebelum pengasuh itu menepuk dan menggosok belakang mangsa.

“Mangsa bagaimanapun didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pengasuhnya itu menghubungi ibu bapa mangsa serta ambulans sementara diberi bantuan pernafasan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, pihak hospital yang tiba turut memberi bantuan pernafasan sebelum bayi yang tidak sedarkan diri itu dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.

Tambahnya, bayi itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3 petang, pada Rabu.

“Siasatan awal polis mendapati pengasuh terbabit menjaga empat bayi dan kanak-kanak berumur lingkungan empat bulan sehingga tiga tahun termasuk mangsa.

“Semakan dijalankan mendapati pengasuh terbabit tidak mempunyai lesen serta sijil yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Kata beliau, kes masih dalam siasatan dan diklasifikasi bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 6 (1) Akta Taman Asuhan 1984. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button