Bekalan beras putih akan pulih dalam tempoh sebulan
Pemulihan itu sedang dibuat menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan.

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin pengeluaran beras putih tempatan di seluruh negara dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT).
Menterinya Mohamad Sabu berkata menerusi program itu, kementerian mengambil beberapa langkah intervensi termasuk meminta pengilang meningkatkan 20% bekalan beras putih tempatan di pasaran bagi penyelesaian jangka pendek.
Beliau berkata beberapa sesi libat urus dengan pemegang taruh dalam industri padi dan beras negara juga akan diadakan Khamis ini bagi membincangkan mengenai kaedah dan mekanisme untuk memulihkan pengeluaran beras.
“Menerusi sesi libat urus itu, KPKM akan menerangkan kaedah dan mekanisme berkaitan bekalan beras tempatan negara, meliputi penyelesaian bagi jangka masa sederhana dan panjang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai strategi kementerian bagi memulihkan pengeluaran beras putih tempatan negara.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau bekalan beras putih tempatan di Giant Tampoi.
Pada Sabtu lalu, kementerian meminta pengilang padi dan pemborong beras negara meningkatkan bekalan BPT sebanyak 20% susulan berlakunya kekurangan bekalan dalam pasaran.
Perkara itu dipersetujui pengilang padi dan pemborong dalam satu sesi libat urus pada 27 Ogos lalu di Alor Setar, Kedah. — FMT