Jenayah

Bekas tentera pijak, tendang anak hingga maut dihukum gantung sampai mati

Bekas tentera itu didapati bersalah membunuh anak perempuannya yang ketika itu berusia 9 tahun

SEREMBAN 22 Ogos – Seorang bekas tentera dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah membunuh anak perempuannya, lima tahun lalu.

Hakim Datin Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, bekas tentera itu melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nur Aina Nabihah Mohammad Abdullah yang ketika itu berusia sembilan tahun.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 11.30 malam, di rumahnya di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson, pada 31 Januari 2018.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Rohani dalam penghakiman memaklumkan tertuduh didapati bersalah dan disabitkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 50 tahun dan boleh dikenakan minimum 12 sebatan.

Katanya, selepas mahkamah mendengar dan menimbang hujahan peguam bela tertuduh dan pihak pendakwaan, mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh.

“Kamu diperintahkan digantung di leher sehingga mati pada tarikh yang akan ditetapkan kelak. Apa yang diketengahkan (pihak pembelaan) adalah penafian dan andaian semata-mata,” katanya.

Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, dalam rayuannya berkata, anak guamnya pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 17 tahun dan amat menyesal serta memohon maaf.

Justeru, dia memohon hukuman berbentuk penjara paling minimum dikenakan terhadap bekas tentera itu bermula dari tarikh tangkap pada 31 Januari 2018.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Maleeha dalam hujahannya memohon mahkamah mengambil kira bahawa mangsa yang meninggal dunia ini adalah anak kandung bekas tentera itu sendiri.

“Dalam kes ini, terdapat 32 kecederaan luaran dan pelbagai kecederaan dalaman simati, tertuduh bertindak kejam memijak serta menendang simati hingga maut, perbuatan ini tanpa belas kasihan seorang yang dikenal terhadap anak kandungnya sendiri.

“Pihak pendakwaan mohon satu hukuman berat dikenakan, hukuman paling wajar dikenakan adalah hukuman mati,” katanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Maleeha Syed Hussin dan Ala’uddin Baharom, manakala tertuduh diwakili oleh dua peguam dari sebuah syarikat guaman. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Back to top button