Berita

Belanjawan 2023: 5 perkara perlu diberi perhatian

Selain daripada pengumuman berkaitan KWSP yang dinantikan, ada lima lagi perkara yang perlu diberi perhatian.

KUALA LUMPUR 23 Feb – Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada esok amat dinantikan oleh rakyat.

Apatah lagi pengumumannya adalah yang pertama kali dibuat di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, ini juga pembentangan pertama olehnya selepas kali terakhir melakukannya pada 1997.

Namun, selain daripada pengumuman berkaitan Kumpuan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dinantikan, ada lima lagi perkara yang perlu diberi perhatian.

Berikut adalah lima perkara yang perlu diberi perhatian dalam pembentangan belanjawan esok seperti yang dikongsikan Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Madeleine Berma kepada Xklusif.

1. Mengurangkan hutang negara

Anwar sebelum ini beberapa kali memaklumkan berkaitan hutang negara yang mencecah jumlah tinggi.

Jadi, Anwar perlu memaklumkan berkaitan dengan kaedah dan pengurusan kewangan yang dilakukan kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan hutang negara.

2. Mengurangkan kos sara hidup

Isu yang menghimpit rakyat ketika ini adalah berkenaan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Rakyat akan mula melihat apa cara dan kaedah yang akan diumumkan kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan lagi kos sara hidup rakyat.

3. Memulihkan industri pelancongan

Industri pelancongan negara masih lagi terkesan dengan pandemik Covid-19 dan dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara, industri ini perlu dipulihkan segera.

Namun, kerajaan perlu tampil dengan bajet untuk menarik lebih ramai pelancong masuk ke dalam negara sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat.

4. Digitalisasi

Dunia sekarang diibaratkan sebagai di hujung jari dan kaedah digitalisasi sedang memacu negara termasuk dalam pentadbiran kerajaan.

Perlu ada sejumlah yang khusus untuk digitalisasi bukan sahaja dalam urusan pentadbiran tetapi juga kepada rakyat.

5. Mewujudkan pekerjaan yang memberi pendapatan bermaruah

Dalam usaha untuk meningkatkan kembali kuasa membeli dalam kalangan rakyat, kerajaan perlu ada inisiatif dalam mewujudkan pekerjaan kepada mereka.

Sama ada peruntukan diberi kepada syarikat swasta tau agensi kerajaan, usaha untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan perlu ada dalam belanjawan kali ini. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button