Belanjawan 2023 bakal tumpu isu keselamatan makanan, perkasa IKS
Pemerkasaan perniagaan termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) turut diberi penekanan supaya mereka dapat bersaing serta membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak.
KUALA LUMPUR, Jan 28 — Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan bulan depan akan menumpukan isu keselamatan makanan dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pemerkasaan perniagaan termasuk industri kecil dan sederhana (IKS) turut diberi penekanan supaya mereka dapat bersaing serta membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak.
“Import makanan kita terlalu tinggi. Ini hal yang kita akan beri tumpuan dalam belanjawan.
“Saya tekankan peranan bukan saja syarikat besar tapi IKS dalam negara.
“Mereka harus diberi ruang supaya dapat ditingkatkan dari segi teknologi dan digitalisasi supaya dapat bersaing serta membawa pekerjaan lebih banyak dan ramai,” katanya.
Beliau berkata ketika berucap dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Wisma Chinese Chamber di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, berhubung individu dalam kerajaan yang terlibat dengan rasuah dan merompak kekayaan negara, beliau yakin pihak berkuasa tidak akan melengah-lengahkan siasatan atau pendakwaan terhadap individu yang terbabit dengan amalan itu.
Katanya, bukan menjadi tugas beliau untuk menjalankan siasatan atau pendakwaan, sebaliknya pihak berkuasa tidak akan melambat-lambatkan perkara itu.
“Kelangsungan hidup orang Melayu bukan dicabar oleh kaum lain. Sebaliknya, oleh pemimpin negara yang tamak dan mencuri dari dana awam.
“Saya bukan lagi bercakap sebagai pemimpin pembangkang, tetapi melihat sendiri kertas kerja dan perkembangan beberapa tahun lalu,” katanya.