Belanjawan 2024: Perlu beri lebih perhatian negeri kurang membangun – Ismail Sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat depan
KOTA KINABALU 4 Okt – Pembentangan Belanjawan 2024 harus memberi fokus kepada kepentingan rakyat dan pembangunan di negeri-negeri kurang membangun seperti Sabah dan Sarawak.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu sekolah-sekolah daif di kedua-dua negeri itu perlu diselesaikan kerana ada sesetengah sekolah yang menanti roboh.
“Kita ada isu sekolah daif, memang daif, boleh runtuh sesetengah sekolah itu, cikgu-cikgu yang mengajar tidak ada tempat tinggal terpaksa menyewa jauh.
“Saya difahamkan di Sabah dan Sarawak juga, klinik desa tidak terurus dengan baik. Jadi, kita harap yang lebih banyak menyentuh rakyat dalam Belanjawan 2024,” katanya selepas menyampaikan ucap tama dan merasmikan Persidangan Integriti dan Tatakelola Kebangsaan 2023 anjuran Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), hari ini.
Menurut beliau, bagi memastikan nasib rakyat terus terbela maka, fokus harus diberikan kepada usaha membantu golongan miskin dan negeri-negeri yang memerlukan dana untuk pembangunan seperti Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat depan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyambut baik cadangan kerajaan bagi memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta.
“Saya juga menyambut baik komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan Pelan Integriti Nasional dan memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam sebagai panduan urus tadbir bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta.
“Kalau boleh semua tadi (Akta Pendanaan Politik dan Akta Tatakelola Sektor Awam), kita minta (kerajaan) percepatkan, sekarang banyak benda tidak ada dalam akta,” katanya. – UTUSAN