Belum ada perancangan untuk kembalikan GST – Anwar
Anwar berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 1 November.

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan belum ada perancangan untuk mengembalikan Cukai Barang dan perkhidmatan (GST).
“Kerajaan masih belum menghidupkan semula GST. Sebarang perubahan kepada dasar cukai perlu mengambil kira kesan kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat,” kata Perdana Menteri dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 1 Nov.
“Justeru, kerajaan akan terus memantau keadaan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah fiskal yang bersesuaian dengan jangka pendek dan sederhana,” katanya.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (PN-Tanjung Karang) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula GST di negara ini dalam jangka pendek dan sederhana.
Terdapat gesaan diperbaharui supaya cukai kontroversi itu dibawa balik.
Pada 11 September, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, menghidupkan semula GST masih kekal sebagai pilihan.
Bagaimanapun, ketika mengumumkan Bajet 2024 pada 13 Okt, Anwar sebaliknya berkata kerajaan bercadang untuk menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Cukai perkhidmatan dinaikkan daripada 6% kepada 8% tetapi tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. — Xklusif