Beregu campuran negara, Tang Jie-Ee Wei ceriakan Hari Kebangsaan 2024
BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menebus kekecewaan pada Terbuka Jepun minggu lalu apabila melangkah ke final Terbuka Korea di Seoul, hari ini sekali gus menceriakan sambutan Hari Kebangsaan 2024 tahun ini.
Pada aksi separuh akhir di Stadium Tertutup Mokpo, Tang Jie-Ee Wei mudah menyingkirkan beregu China yang berada di ranking ke-31 dunia, Cheng Xing-Zhang Chi straight set 22-20, 21-19 dalam tempoh 50 minit sekali gus mengubati kekecewaan terkandas pada suku akhir Terbuka Jepun, minggu lalu.
Tang Jie-Ee Wei yang berada di ranking kesembilan dunia akan menentang satu lagi beregu China, Guo Xin Wa-Li Qian yang menewaskan pilihan ketiga tuan rumah, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 14-21, 24-22, 21-10 di separuh akhir.
Perlawanan akhir esok adalah pertemuan sulung buat Tang Jie-Ee Wei berdepan beregu China di ranking ke-241 dunia itu.
Biarpun di atas kertas, Tang Jie-Ee Wei dilihat berpotensi untuk menjuarai kejohanan berstatus Super 500 itu, namun keupayaan beregu China itu tidak seharusnya diperkecilkan apatah lagi selepas ‘terpisah’ sejak Mac lalu.
Masters China yang berstatus Super 100 adalah gandingan terakhir Xin Wa-Qian sebelum dipisahkan pada Mac lalu dan pada kejohanan berkenaan, mereka berjaya meraih gelaran naib juara.
Selepas itu, Xin Wa digandingkan bersama Chen Fang Hui bermula di Terbuka Thailand yang menyaksikan mereka muncul juara dan naib juara di Terbuka Australia, Jun lalu.