Jenayah

Bergaduh sampai maut

Dalam kejadian 10.30 pagi, peniaga kedai warga tempatan Lee Siew Lean, 40, maut ditikam senjata tajam

IPOH 4 Jan – Seorang wanita maut manakala dua lelaki termasuk teman lelakinya cedera dalam pertengkaran di sebuah kedai di Taman Rasi Jaya, dekat Menglembu, pagi tadi.

Dalam kejadian 10.30 pagi, peniaga kedai warga tempatan Lee Siew Lean, 40, maut ditikam senjata tajam.

Difahamkan pergaduhan tercetus antara mangsa yang maut dengan suspek berumur 50-an yang juga pekerja mangsa di premis berkenaan berhubung hal kewangan syarikat.

Dua mangsa yang cedera difahamkan masing-masing adalah teman lelaki mangsa berusia 42 tahun yang juga rakan kongsi mangsa maut, serta pekerja kedai itu.

Pertengkaran dikatakan tercetus apabila suspek berang terhadap mangsa, teman lelaki mangsa, serta rakan sekerja suspek sebelum menyerang mereka menggunakan senjata tajam.

Suspek yang turut cedera di telinga sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Tinjauan di lokasi mendapati orang ramai mengerumuni kedai itu yang dikawal polis sebelum kelihatan mayat mangsa diusung keluar oleh anggota polis.

Turut kelihatan di lokasi, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan.

Polis dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu nanti. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button