Berita baik buat pelabur ASB
Pengumuman kadar dividen ASB sememangnya sentiasa dinanti-nantikan oleh pelabur
KUALA LUMPUR 19 Dis – Kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun ini dijangka akan lebih tinggi daripada 4.6 peratus yang diagihkan tahun lalu.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengumuman kadar dividen ASB sememangnya sentiasa dinanti-nantikan oleh pelabur.
Beliau menjangkakan dividen ASB akan lebih tinggi berbanding agihan dividen yang diberikan pada 2022 yang menyaksikan agihan pendapatan sebanyak 3.35 peratus dan 1.25 peratus bonus.
“Walaupun FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) belum menunjukkan peningkatan prestasi tetapi saya jangkakan dividen ASB yang akan diumumkan tidak lama lagi tidak akan seteruk tahun sebelumnya.
“Ini ditambah dengan peningkatan pertumbuhan positif keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang dicapai setiap suku tahun pada tahun ini.
“Oleh itu, jangkaan saya dividen ASB 2023 akan lebih tinggi daripada 4.6 peratus pada tahun lalu,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, faktor yang mendorong kepada prestasi dividen ASB tahun ini dapat dilihat menerusi pelaburan antarabangsa yang dijangka kekal sebagai penyumbang utama prestasi dividen ASB.
Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai turut berpandangan kadar dividen ASB tahun ini akan lebih baik dan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, walaupun tahun ini negara masih menghadapi keadaan pasaran saham yang rendah, namun dividen ASB masih akan berada dalam lingkungan 5.0 ke 6.0 peratus.
“Agihan dividen ASB bagi 2023 tidak akan melebihi 6.0 peratus mengikut situasi ekonomi semasa, tetapi akan lebih baik berbanding 2022.
“Malah, ASB masih menjadi platform pilihan untuk rakyat melabur kerana risiko yang rendah dan harga unit saham yang tetap,” katanya.
Bagi 2022, Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan ASB pada kadar 4.6 sen seunit dan bonus tambahan 0.5 sen seunit, lebih rendah berbanding 2021.
Pada 2021, pengagihan pendapatan ASB adalah 5.0 sen seunit, merangkumi agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit, manakala pada 2020, agihan pendapatan diberi 4.25 sen seunit tanpa bonus. – Harian Metro