Bernas umum kenaikan harga beras putih import
Tambah Bernas, syarikat itu telah menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun lalu.

KUALA LUMPUR 1 Sept – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import berkuatkuasa hari ini.
Dalam satu kenyataan, Bernas berkata harga jualan beras putih import kini ditetapkan kepada RM3,200 per tan metrik berbanding harga sebelum ini RM2,350 per tan metrik.
“Bernas mengharungi separuh tahun pertama yang sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran matawang asing, kos operasi dan konflik serantau.
“Faktor-faktor ini secara kolektif telah mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini,” katanya.
Pada Julai lalu, India menghalang import beras putih bukan basmati selepas musim hujan monsun bermula lewat yang menjejaskan tanaman dan meningkatkan kebimbangan mengenai kejatuhan pengeluaran beras.
Tambah Bernas, syarikat itu telah menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun lalu.
“Bagaimanapun, akibat ketidakpastian keadaan semasa dan setelah mempertimbangkan keperluan untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri, pelarasan harga adalah perlu dan tidak dapat dielakkan,” katanya.
Kata syarikat itu lagi, Bernas akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan serta rakan dagang antarabangsa bagi menjamin bekalan beras yang stabil
“Keselamatan makanan negara dan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan kami,” katanya. — Xklusif