‘Bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak’, Ab Rauf tempelak Jailani

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menempelak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang mendakwa beliau umpama digantung tidak bertali oleh parti.
Ab Rauf berkata, sepatutnya Muhammad Jailani memahami alasan parti bersikap demikian dalam tempoh penggantungannya itu.
“Kalau cakap begitu (digantung tidak bertali), saya tidak setuju. Seolah-olah kita ini bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak.
“Sepatutnya ketika parti ambil tindakan, dalam tempoh ‘edah’ digantung keahlian, kita ikutlah etika parti supaya dapat memperbaiki kesilapan dan apa (yang menyebabkan) dia digantung daripada keahlian.
“Jadi kalau kita bersikap tidak menampakkan sealiran dengan parti, maka parti juga berhak jalankan tugas sebagai pentadbir kepada wakil rakyat dalam parti ini.
“Termasuk memberikan amaran dan tidak lagi memberikan kemudahan sebagai wakil rakyat berlandaskan pada surat aku janji yang ditandatangani dan dipersetujui kedua-dua belah pihak,” katanya pada sidang media hari ini.
Muhammad Jailani sebelum ini dilaporkan berkata peruntukan di kawasannya disekat hingga menyukarkan memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, tindakan itu umpama digantung tidak bertali walaupun pernah menghantar surat kepada Lembaga Disiplin UMNO memohon untuk memecat keahliannya daripada parti berkenaan.
“Saya sudah minta cara baik tetapi digantung (keahlian). Ibaratnya, kamu kahwin dengan saya, tetapi kamu seksa saya… gantung tidak bertali.
“Sekat peruntukan dan rampas pejabat saya. Macam mana saya nak berkhidmat?” katanya seperti dilaporkan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan mengenai penyertaan Muhammad Jailani dalam PAS sejak Jun lalu.
Takiyuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada 10 Jun 2023.
Muhamad Jailani sebelum ini menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket PKR dan beliau antara empat ADUN Pakatan Harapan (PH) yang melompat menyokong Barisan Nasional (BN) bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.
Beliau dikatakan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai UMNO bagi membolehkan dipilih bertanding semula mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri 20 November 2021.