Berita

BERSATU berkeras mahu SPRM siasat dakwaan kerakyatan kepada 54,000 warga China

BERSATU tetap mahukan isu itu disiasat biarpun KDN dan JPN menafikannya

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Tidak terkesan dengan kenyataan Menteri Ekonomi yang akan memanjangkan dakwaan fitnah berkaitan isu kerakyatan kepada 54,000 warga China kepada pihak berkuasa, BERSATU tetap bertegas mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat perkara berkenaan.

Gesaan itu juga dibuat walaupun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah pun menafikannya.

Dakwaan berkenaan difahamkan muncul kali pertama di media sosial awal bulan ini yabg menyebut mereka akan diberikan kerakyatan supaya menjadi “pengundi DAP”.

Tanpa mengemukakan bukti terdapat dakwaan itu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris semalam berkata siasatan perlu dibuat terhadap Saifuddin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN.

“Mana mungkin pokok bergoyang begitu sahaja kalau tiada angin yang bertiup!” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial PAS semalam.

Terdahulu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pula menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah jenayah dan akan mengusulkan kepada Saifuddin supaya laporan polis dibuat.

Beliau menyifatkan catatan PAS di Facebook dan Twitter itu sebagai penipuan dan “fitnah jenayah”.

“Saya akan bercakap dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail supaya satu laporan polis dibuat mengenai posting ini.

“PAS perlu bertanggungjawab bila berterusan berbohong begini,” kata timbalan presiden PKR itu di Facebook.

“Bukan soal fitnah atau tohmahan, tetapi rakyat Malaysia berhak mengetahuinya.

“Kita tidak mahu kedaulatan negara kita dicerobohi sewenang-wenangnya, apatah lagi daripada pihak dalaman. Menteri KDN harus bertanggungjawab,” katanya di Facebook kelmarin.

Pada 18 Ogos lalu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan itu dengan berkata kenyataan Saifuddin pada Januari lalu dimanipulasi kerana beliau sebenarnya berkata 54,000 permohonan kerakyatan dikemukakan pada 2017 hingga 2022.

Katanya, 54,000 permohonan meliputi pelbagai latar belakang keturunan dan negara asal diterima, tetapi hanya 45 warga China diberikan kerakyatan antara 2019 dan 31 Julai lalu. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button