Bersatu gagal ganti UMNO, ahli parti akan keluar
Bersatu juga dilihat tidak mempunyai akar umbi sendiri.
KUALA LUMPUR 24 Nov. – Seorang pemimpin Umno yakin Bersatu akan “ditinggal” sebelum PRU16 walaupun Hamzah Zainudin berkata parti itu boleh “pergi jauh”.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, berkata Bersatu gagal menjadi pengganti kepada Umno berikutan tiada akar umbi sendiri.
“Bukan sahaja ditinggal jauh oleh PAS tetapi oleh Ahli Parlimen Bersatu yang akan tinggalkan parti itu.
“Ia (Bersatu) berjaya kerana PAS. Bersatu gagal mengganti Umno. Bersatu tidak ada negeri sandaran macam PAS, Umno dan PKR,” katanya di Facebook.
Semalam, Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu menggesa ahli bekerja lebih keras untuk parti, yang menurutnya berpotensi “pergi jauh” berdasarkan prestasi pilihan raya lalu.
Dalam ucapannya kepada perwakilan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, semalam, Hamzah mengingatkan ahli dalam tempoh sesingkat enam tahun ia mampu memenangi 31 kerusi Parlimen.
Katanya, parti lain selepas puluhan tahun tertubuh belum tentu boleh capai prestasi seperti Bersatu.
Dalam pada itu, Puad juga berkata ahli Bersatu akan beralih kepada PAS atau sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. — FMT