BERSATU jangan malas membaca – Puad
BERSATU juga disifatkan 'bias' apabila perkara sama berlaku kepada pucuk pimpinan parti mereka

KUALA LUMPUR 6 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Puad Zarkashi menasihatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) khususnya BERSATU supaya tidak malas membaca.
Merujuk bantahan berhubung keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan presiden UMNO itu daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, katanya, mereka sepatutnya membaca terlebih dahulu alasan pasukan pendakwaan.
“Ada yang tidak puas hati. Ini mudah difahami. Ia melibatkan pemimpin UMNO. Mereka memusuhi UMNO. Mereka tidak mahu UMNO bangkit.
“Mereka juga bias. Mereka diam jika kena batang hidung pemimpin sendiri. Majlis Peguam pun “dua kali lima’.
“Tidak seorang pun yang membantah itu mengulas 11 alasan pendakwa raya. Mereka tidak baca termasuk ketua pemuda Bersatu,” katanya yang turut memetik beberapa alasan daripada pasukan pendakwaan kes itu.
“Nasihat saya pada Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, jangan jadi ahli politik malas membaca,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Isnin lalu, Wan Fayhsal menyindir hubungan di antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Zahid yang menurutnya ibarat lilin yang membakar diri sehingga sanggup ‘berkorban’ antara satu sama lain.
Kerana itulah, dakwanya, Anwar sanggup mengorbankan integriti dan agenda reformasinya semata-mata mahu menyelamatkan Zahid.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) berterusan mempersoalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid, 70, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap timbalan perdana menteri itu.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, umpamanya berkata, apa yang berlaku itu adalah sesuatu yang tidak bermoral dan titik hitam dalam sejarah keadilan negara.
Sambil mempersoalkan jika terdapat arahan daripada pihak atasan kerajaan, katanya, pasukan pendakwaan juga sudah berjaya mewujudkan prima facie bagi kes berkenaan.
Mengulas lanjut, Puad turut membuat perbandingan dengan keputusan mahkamah Muhyiddin yang berdepan dengan pertuduhan salah guna kuasa membabitkan lebih RM200 juta, yang mana dia juga kemudiannya dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah.
“Ketua Pemuda Bersatu kata empat tahun masa terbuang. Masa orang lain terbuang kamu tidak fikir pula. Ada kalanya pertuduhan dipinda. Itu berlaku pada kes Najib.
“Dalam kes Muhyiddin, hakim kata pertuduhan tidak lengkap. Sebab itu kes gugur. Kenapa (peguam negara ketika itu) Idrus Harun tidak arah buat pindaan?” soalnya.
Untuk rekod, seseorang yang dilepaskan tanpa dibebaskan masih terikat kepada kemungkinan boleh didakwa semula pada masa hadapan jika pihak AGC ingin menyemak semula perkara tersebut. – Xklusif