BERSIH mahu keputusan DNAA dihentikan segera
DNAA merujuk kepada keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan.
KUALA LUMPUR 20 Jan. – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa amalan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) mana-mana ahli politik khususnya yang berdepan pertuduhan kes rasuah di mahkamah dihentikan segera.
Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata sudah tiba masanya untuk Peguam Negara menghentikan amalan itu, berikutan ia dilihat boleh membangkitkan kemarahan dalam kalangan rakyat.
“Kami menggesa supaya mereka yang sedang berhadapan tuduhan kes rasuah ini untuk mempertahankan diri dan dibicarakan seadilnya di hadapan mahkamah, bukannya digugurkan tuduhan mereka dengan ‘pengurniaan’ DNAA.
“Desakan ini penting sementara menanti hasil kajian ‘task force’ (pasukan khas) oleh Kerajaan Persekutuan berkenaan cadangan untuk memisahkan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu, beliau mengetuai himpunan ‘flashmob’ oleh BERSIH yang turut disertai kira-kira 60 wakil anak muda serta 30 badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di hadapan Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Masjid Jamek di sini, hari ini.
Faisal berkata, ‘flashmob’ hari ini sebagai peringatan awal supaya Peguam Negara segera menghentikan pemberian DNAA sedemikian.
Perkara itu, katanya, merujuk perkembangan terbaharu kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkait dana SRC International San Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta yang mana ditetapkan September depan untuk pihak pendakwa raya membuat keputusan sama ada akan memberikan DNAA atau tidak kepada tertuduh.
“Isu pemberian DNAA oleh Peguam Negara ini bukan perkara baharu, malah pernah berlaku beberapa kali membabitkan ahli politik daripada hampir semua parti politik utama dalam negara.
“BERSIH khuatir perkembangan ini akan meruntuhkan kepercayaan rakyat kepada institusi penguatkuasaan undang-undang khususnya pejabat Peguam Negara,” katanya.
Tambah beliau, kenyataan Peguam Negara pada 15 Januari lalu bahawa pendakwa raya tidak perlu memberi penjelasan apabila memohon menarik semula dakwaan, tidak boleh diterima sama sekali apabila kes itu membabitkan kepentingan awam dan ahli politik di peringkat tertinggi pentadbiran negara.
Seiring dengan itu, katanya, BERSIH menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan garis masa pelaksanaan pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta agenda reformasi lain termasuk reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Pendanaan Politik,” katanya.
Dalam pada itu, BERSIH turut mengingatkan Kerajaan Persekutuan tentang janji dan prinsip reformasi diperjuangkan mereka sebelum memegang tampuk kuasa.
“Rakyat sedang memerhati dan sekiranya pemberian DNAA untuk kes rasuah sebegini berterusan, kepercayaan rakyat terhadap institusi awam bakal dihakis.
“Jangan ambil ringan gelombang kemarahan rakyat,” katanya yang turut memaklumkan BERSIH mungkin menganjurkan ‘flashmob’ lebih besar selepas ini sekiranya kerajaan dan Peguam Negara tidak mempertimbangkan tuntutan reformasi itu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi BERSIH, Wong Yan Ke, berkata untuk memulihkan kepercayaan khususnya dalam kalangan anak muda, kerajaan perlu memastikan adanya prinsip yang jelas mengenai DNAA.
“Memberi DNAA kepada mana-mana ahli politik dari parti politik sekutu (yang terbabit kes rasuah) sebagai cara untuk mengekalkan kuasa pemerintahan, umpama membuat perjanjian dengan ‘syaitan’… apa akan jadi selepas itu?
“Adakah dengan memberikan isyarat kepada semua bahawa selagi mereka menyokong kerajaan sedia ada, mereka akan dijanjikan dengan DNAA… itu adalah isyarat yang salah.
“Oleh kerana itu perlu ada pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya. — Berita Harian